Sebuah
kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200 orang temasuk ahli perniagaan
berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah
lautan maka datanglah topan dengan ombak yang kuat membuat kapal itu
terumbang-ambing dan hampir tenggelam. Berbagai usaha dibuat untuk mengelakkan
kapal itu dipukul ombak besar, namun semua usaha mereka sia-sia saja. Kesemua
orang yang berada di atas kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang akan
terjadi pada kapal dan diri mereka.
Ketika
semua orang berada dalam keadaan cemas, terdapat seorang lelaki yang sedikitpun
tidak merasa cemas. Dia kelihatan tenang sambil berzikir kepada Allah swt.
Kemudian lelaki itu turun dari kapal yang sedang terombang-ambing dan
berjalanlah dia di atas air dan mengerjakan solat di atas air.
Beberapa
orang pedagang yang bersama-sama dia dalam kapal itu melihat lelaki yang
berjalan di atas air dan dia berkata, "Wahai wali Allah, tolonglah kami.
Janganlah tinggalkan kami!" Lelaki itu tidak memandang ke arah orang yang
memanggilnya. Para pedagang itu memanggil lagi, "Wahai wali Allah,
tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"
Kemudian
lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan berkata, "Apa
hal?" Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa. Pedagang itu
berkata, "Wahai wali Allah, tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang
kapal yang hampir tenggelam ini?"
Wali
itu berkata, "Dekatkan dirimu kepada Allah."
Para
penumpang itu berkata, "Apa yang mesti kami buat?"
Wali
Allah itu berkata, "Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan selamat."
Mereka
semua sanggup meninggalkan harta mereka. Asalkan jiwa mereka selamat. Kemudian
mereka berkata, "Wahai wali Allah, kami akan membuang semua harta kami
asalkan jiwa kami semua selamat."
Wali
Allah itu berkata lagi, "Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca
Bismillah."
Dengan
membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi seorang ke atas air dan berjalan
menghampiri wali Allah yang sedang duduk di atas air sambil berzikir. Tidak
berapa lama kemudian, kapal yang membawa muatan barang yang tak terhingga
harganya itu pun tenggelam ke dasar laut.
Habislah
semua barang-barang perniagaan yang mahal-mahal terbenam ke laut. Para
penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat, mereka berdiri di atas air sambil
melihat kapal yang tenggelam itu.
Salah
seorang daripada peniaga itu berkata lagi, "Siapakah kamu wahai wali
Allah?"
Wali
Allah itu berkata, "Saya ialah Awais Al-Qarni."
Peniaga
itu berkata lagi, "Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal yang
tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang dihantar oleh seorang
jutawan Mesir."
Wali
Allah berkata, "Sekiranya Allah kembalikan semua harta kamu, adakah kamu
betul-betul akan membagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?"
Pedagang
itu berkata, "Betul, saya tidak akan menipu, ya wali Allah."
Setelah
wali itu mendengar pengakuan dari pedagang itu, maka dia pun mengerjakan solat
dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada Allah swt agar kapal itu
dimunculkan kembali bersama hartanya.
Tidak
berapa lama kemudian, kapal itu muncul sedikit demi sedikit sehingga terapung
di atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada
yang kurang.
Setelah
itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran ke
tempat yang dituju. Setelah sampai di Madinah, pedagang yang berjanji dengan
wali Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membagi-bagikan harta kepada
semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang tertinggal.
Wallahu a'alam.
No comments:
Post a Comment