HUKUM MENTALQIN MAYAT


Bersandarkan Hadith Nabi Dan Mazhab Empat
Alhamdulillah, Tuhan Pencipta alam, WujudNya azali abadi tanpa permulaan dan tanpa memerlukan tempat. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad, para sahabat dan ahli keluarga baginda.
Sesungguhnya hukum mentalqin mayat dengan kalimat tauhid “La ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah” ataupun dengan perkataan suci yang lain adalah harus hukumnya dari segi syara' dan bersesuaian dengan ajaran agama Nabi Muhammad.
Sememangnya tidak ada dalil dari nas Al-Qur’an mahupun nas Al-Hadith yang mengharamkan amalan talqin kecuali mereka (antaranya Wahhabi) yang mengharamkannya hanya bersandarkan ianya suatau bid’ah yang tidak dilakukan oleh Rasul. Malangnya nas-nas hadith Nabi jelas bercanggah dengan apa yang mereka dakwa.
Mari kita kupaskan secara ilmiah islamiah.
Hadith Nabi Mengharuskan Talqin
Apa yang didakwa mengenai pengharaman hukum talqin oleh Wahhabi dan konco-konco mereka yang kerap membuat kacau balau dalam masyarakat umat Islam adalah tidak berasas. Bahkan mereka bertujuan mengadu domba umat Islam yang melakukan amalan tersebut.
Kononnya talqin adalah satu bid’ah yang Nabi tidak pernah berbuat dan tidak pernah suruh orang lain buat dan bagi Wahhabi siapa buat amalan talqin maka dia sudah berbuat bid’ah dan akan masuk api neraka jahannam.
Benarkah Dakwaan Wahhabi itu?
Mari kita singkap hadith Nabi Muhammad sendiri menyuruh amalan talqin yang diriwayatkan oleh Imam At-Tobarony dalam Mu’jam Sighir dan Mu’jam Kabir dari Abi Umamah Al-Bahily berkata :
إذا أنا مت فاصنعوا بي كما أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نصنع بموتانا، أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: إذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب على قبره فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل: يا فلان ابن فلانة فإنه يسمعه ولا يجيب، ثم يقول: يا فلان ابن فلانة فإنه يستوي قاعداً، ثم يقول: يا فلان ابن فلانة فإنه يقول أرشدنا يرحمك الله ولكن لا تشعرون، فليقل: اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمداً عبده ورسوله وأنك رضيت بالله رباً وبالإسلام ديناً وبمحمد نبياً وبالقرءان إماماً فإن منكراً ونكيراً يأخذ كل واحد منهما بيد صاحبه ويقول: انطلق بنا ما يقعدنا عند من لُقّن حجته، قال [أي أبو أمامة]: فقال رجل: يا رسول الله فإن لم يُعرف أمه، قال: ينسبه إلى أمه حواء، يا فلان ابن حواء"
Yang bermaksud : "Apabila aku mati nanti, lakukan padaku sepertimana yang disuruh oleh Rasulullah agar dilakukan kepada mayat, Rasulullah telah memerintah kita dengan sabda baginda: “ Apabila matinya seorang daripada kalanganmu, maka tanahlah dan berdirilah seorang dikalangan kamusemua pada bahagian kepala dikuburnya kemudian katakan Wahai si fulan anak si fulanah, orang itu mendengarnya tetapi dia tidak akan menjawab, kemudian katakan Wahai fulan anak fulanah maka dia duduk, kemudian katakan Wahai fulan anak fulanah maka dia berkata semoga Allah merahmati kamu tetapi kamu semua tidak merasai (apa yang telah berlaku pada si mayat), maka hendaklah dikatakan : Ingatlah apa yang telah menyebabkan kamu dilahirkan kedunia iaitu syahadah tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu hambaNya dan rasulNya dan engkau telah meredhoi dengan allah sebagai tuhanmua dan islam itu agamamu dan Muhammad itu nabimu dan al-quran itu petunjukmu maka malaikat mungkar dan nakir akan mengambil tangannya lantas berkata Ayuh bersama kami bawakan kepada siapa yang telah ditalqinkan hujahnya” Abu Umamah bertanya kepada Rasulullah Wahai Rasulullah!bagaimana sekiranya tidak diketahui nama ibunya? Rasulullah menjawab “Maka hendaklah dinasabkan kepada ibu manusia iaitu Hawwa dengan mengatakan Wahai si fulan anak Hawwa.” Tamat hadith riwayat Imam Al-Hafiz Tobarony Dalam kitabnya Mu'jam Soghir Wal Kabir.
Hadith yang mengharuskan talqin di atas telah disolehkan sanadnya (ulama hadith menyatakan hadith itu boleh digunakan) oleh Imam Muhaddith dari kalangan ulama hadith iaitu Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqolany dalam kitab beliau berjudul At-Talkhis Al-Habir seperti yang juga dalam Kitab Al-Majmu’ oleh Imam Nawawi pada jilid 5 halaman 243 :
وإسناده صالح وقد قواه الضياء في أحكامه
Yang bermaksud : “ Sanad hadith ini adalah boleh digunakan dan hadith ini telah dikuatkan oleh Imam Al-Hafiz Ad-Dhiya dalam kitab Ahkam”.
Maka hadith Nabi Muhammad ini jelas mengharuskan amalan talqin sepertimana juga para ulama salafussoleh berpegang dengan hukum mengenainya.
Tiada seorangpun ulama islam yang muktabar mengingkari amalan talqin ini kecuali bilangan kecil ajaran sesat di zaman kini yang suka memecah-belahkan umat islam dengan mendakwa amalan talqin adalah satu bid’ah yang teramat buruk dan siapa melakukan talqin maka dia sesat dan akan masuk neraka jahannam.
Pertanyaan kutujukan pada si penentang amalan talqin :
1- Bagikan padaku ayat Al-Quran yang jelas mengharamkan dan membid’ahkan amalan talqin?
2-       Berikan padaku Hadith yang jelas dari Nabi Muhammad yang mengatakan amalan talqin adalah haram atau bid’ah?
3-    Sebutkan seorang saja ulama salafussoleh @ salafi hakiki (ulama Islam yang hidup sebelum 300H) yang menyatakan amalan talqin adalah haram atau bid’ah?
Saya menunggu jawapan soalan diatas dari Wahhabi dan konco-koncnya dari seluruh pelusuk dunia termasuk ulama-ulama Wahhabi dimana saja kamu berada dan apa bahasapun yang kamu pakai.
Disini ingin kubawa buat teman-teman mengenai kata-kata ulama Islam ahli sunnah Wal Jamaah mengharuskan amalan talqin dari mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Syafie dan juga tidak lupa dari mazhab Hambali yang mana sebahagian puak Wahhabi sering mendakwa mereka dari golongan Hambali.

Mazhab Islam Mengharuskan Talqin
Kenyataan Mazhab Al-Hanafi Mengharuskan Talqin
1-Berkata As-Syeikh Al-Alim Abdul Al-Ghony Al-Ghonimy Ad-Dimasyqy Al-Hanafi dalam kitab beliau berjudul Al-Lubab Fi Syarhil Kitab pada jilid 1 halaman 125 menyatakan :

وأما تلقينه (أي الميت) في القبر فمشروع عند أهل السنة لأن الله تعالى يحييه في قبره
“Manakala hukum mentalqin mayat pada kubur adalah merupakan syariat Islam disisi Ahli Sunnah Wal Jamaah karena Allah ta’ala menghidupkannya dalam kuburnya”.
Telah jelas bahawa dalam mazhab Hanafi amalan talqin adalah diharuskan bahkan disyariatkan.
Adakah Wahhabi akan membid’ahkan serta mengkafirkan ulama Hanafi kerana mengharuskan amalan talqin? Kenapa wahhabi benci sangat dengan amalan talqin? Apa kesalahan talqin terhadap kamu wahai wahhabi?
Mazhab Maliki Mengharuskan Amalan Talqin
Imam Al-Qurtuby Al-Maliky pengarang kitab tafsir terkenal telah menulis satu bab yang khusus mengenai amalan talqin disisi mazhab Maliki dalam kitab beliau berjudul At-Tazkirah Bil Ahwal Al-Mauta Wal Akhiroh pada halaman 138-139 :
باب ما جاء في تلقين الإنسان بعد موته شهادة الإخلاص في لحده
Didalam bab itu juga Imam Qurtuby telah menjelaskan amalan talqin dilakukan oleh para ulama islam di Qurtubah dan mereka mengharuskannya.
Dalam mazhab Maliki juga bercanggah dengan mereka yang mengharamkan amalan talqin.
Mazhab Syafi’e Mengharuskan Dan Mengalakkan Amalan Talqin
Imam An-Nawawi As-Syafi’e menyatakan dalam kitab beliau berjudul Al-Majmu pada jilid 5 halaman 303-304 :
قال جماعات من أصحابنا يستحب تلقين الميت عقب دفنه" ثم قال: "ممن نص على استحبابه: القاضي حسين والمتولي والشيخ نصر المقدسي"
Yang bermaksud : “Telah menyatakan oleh ramai para ulama dari mazhab Syafi’e bahawa disunatkan talqin pada mayat ketika mengebumikannya”.
Kenyataan mazhab Syafi’e dari kitab yang sama :
"وسئل الشيخ أبو عمرو بن الصلاح رحمه الله عنه فقال: التلقين هو الذي نختاره ونعمل به"
Imam Nawawi menyatakan : “ Telah ditanya kepada As-Syeikh Abu Amru Bin As-Solah mengenai talqin maka beliau menjawab Amalan talqin merupakan pilihan kita (mazhab Syafi’e) dan kami beramal dengannya”.
Imam Abu Qosim Ar-Rofi’e As-Syafi’e menyatakan dalam kitab beliau berjudul Fathul ‘Aziz Bi syarh Al-Wajiz tertera juga pada bawah kita Al-Majmu' oleh Imam Nawawi pada jilid 5 halaman 242 :
"ويستحب أن يُلقن الميت بعد الدفن فيقال: يا عبد الله بن أمة الله ..." إلى اخره
Yang bermaksud : Digalakkan dan disunatkan mentalqin mayat selepas mengebumikannya dan dibaca : Wahai hamba Allah bin hamba Allah… (bacaan talqin).
Mazhab Hambali Mengharuskan Talqin
1- Imam Mansur Bin Yusuf Al-Buhuty Al-Hambaly menyatakan hukum pengharusan talqin dalam kitab beliau berjudul Ar-Raudul Mari’ halaman 104.
2-   Imam Al-Mardawy Al-Hambaly dalam kitabnya Al-Insof Fi Ma’rifatil Rojih Minal Khilaf pada jilid 2 halaman 548-549 menyatakan :
فائدة يستحب تلقين الميت بعد دفنه عند أكثر الأصحاب"
Yang bermaksud : “ Kenyataan yang penting : Disunatkan hukum talqin mayat selepas mengkebumikannya disisi kebanyakan ulama (selainnya hanya mengaruskan saja).
Nah! Dimana pula kedudukan Wahhabi setelah hukum keharusan talqin diperjelaskan berdasarkan hadith Nabi dan mazhab empat termasuk mazhab Hambaly..?
Saudara sekalian.. pilihlah.. anda mau mengikut ulama Islam yang muktabar yang mana mereka mempunyai hujjah dari nas ataupun mau mengikut Wahhabi yang mengatakan amalan talqin adalah bid’ah lagi haram sedangkan wahhabi tak mempunyai satu dalilpun menyokong fatwa sesat mereka.
Inilah talqin yang dihukumkan mustahab oleh perhimpunan daripada sahabat kami (yakni para ulama asy-Syafi'iyyah), antara mereka adalah al-Qadhi Husain, Shohibut Tatimmah, Syaikh Nashr al-Maqdisi dalam kitabnya "at-Tahdzib" dan selain mereka.
Qadhi Husain telah menukilkan bahawa secara mutlak di sisi ulama Syafi'i, membaca talqin ini adalah mustahab . Dan adapun hadits yang datang mengenai hukum talqin ini adalah dhoif, akan tetapi hadits-hadits (dhoif) berkaitan keutamaan (fadhoil) adalah tidak mengapa untuk diamalkan di sisi ahli ilmu daripada kalangan muhadditsin dan selain mereka. Dan telah diperkukuhkan hadits mengenai talqin ini dengan kesaksian beberapa hadits yang shohih, seperti hadits :
"Mohonlah kepada Allah baginya (yakni bagi si mati) akan ketetapan (yakni ketetapan dalam menjawab fitnah kubur),"
Dan wasiat Sayyidina 'Amr bin al-'Aash:
"Berdirilah kamu di sisi kuburku (walaupun hanya) selama kadar menyembelih seekor sembelihan dan membagi-baagi dagingnya, sehingga aku dapat merasakan ketenangan dengan kalian dan aku mengetahui dengan apa akan aku kembalikan utusan-utusan Tuhanku (yakni Munkar dan Nakir)", sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam shohihnya.
Sentiasalah penduduk Kota Syam beramal dengan amalan talqin ini sejak zaman permulaan Islam lagi, iaitu zaman di mana orang-orangnya dijadikan ikutan. Maka berkata para sahabat kami (yakni ulama Syafi'i):
"Dan duduklah orang yang membaca talqin itu di sisi kepala kuburan si mati, dan adapun anak kecil yang belum baligh dan seumpamanya, maka tidaklah ditalqinkan."

Oleh itu, janganlah memandang remeh urusan talqin mayyit setelah dikubur. Talqin mayyit adalah amalan yang punya dalil dan asas dalam Mazhab Syafi'i. Bukan hanya kita di Indonesia yang bertalqin zaman berzaman, Imam an-Nawawi rahimahullah telah menyatakan bahawa umat Islam di Kota Syam turut mengamalkannya sejak dahulu lagi. Jauhilah sikap menertawakan amalan orang lain, apa lagi jika ia yang punya dasar, dan diamalkan oleh para ulama dan awliya'. 

No comments:

Post a Comment